PENDIDIKAN

PENDIDIKAN (49)

Monday, 28 May 2018 01:57

GRADUAN TVET PILIHAN INDUSTRI

PUTRAJAYA: Tahap kebolehpasaran graduan di empat gabungan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), meningkat tahun lalu dengan 94 peratus mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata tahap kebolehpasaran graduan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) meningkat daripada 83 peratus pada 2016 kepada 94 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, ia membuktikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian.

Justeru, katanya, graduan dan ibu bapa perlu melihat bidang TVET sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk kerjaya masa depan anak mereka.

“Kalau kita lihat penerimaan masyarakat dalam bidang TVET di negara maju dan negara jiran, ia mendapat sambutan yang amat baik sebagai satu bidang kerjaya pilihan.

“Menurut kajian pada 2016, sebanyak 59 peratus pelajar di Jerman melanjutkan pengajian mereka dalam program berasaskan TVET, Belanda (68 peratus); Australia (62 peratus); Indonesia (51 peratus) dan Thailand (41 peratus).

“Di Malaysia, setakat ini, hanya 28 peratus saja pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET. Ini kerana masih ramai yang beranggapan bidang ini hanya untuk pelajar lemah dalam pencapaian akademik dan tidak mempunyai masa depan cerah.

“Hakikatnya, lepasan TVET ini mendapat sambutan baik daripada industri, selain ia juga amat sesuai untuk mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan, terutamanya usahawan teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Perdana Institut Pendidikan MARA (KKTM, KPM, MJII dan IKM) 2018, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 9,230 graduan menerima sijil dan diploma dalam pelbagai bidang pengkhususan masing-masing, selain 109 turut diraikan sebagai penerima Anugerah Graduan Cemerlang, Keusahawanan Cemerlang dan Anugerah Khas Industri.

Selain itu, beliau berkata, berikutan kejayaan dihasilkan MARA dalam pemerkasaan modal insan Bumiputera, kerajaan terus memberi kepercayaan kepada MARA dengan memperuntukkan RM5.2 bilion bagi belanja pembangunan dan mengurus tahun ini.

Katanya, dalam meningkatkan peluang pendidikan kepada Bumiputera, kerajaan meluluskan pembinaan lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu iaitu di Bera, Pahang; Bagan Datuk, Perak; Ketereh dan Tanah Merah, Kelantan serta Sik, Kedah.

Selain itu, katanya, sebuah KKTM dibina di Selama Perak, sebuah KPM di Bachok, Kelantan serta KPTM di Ipoh, Perak dan Semporna, Sabah.

“Dengan terbina institusi ini, ia dapat menawarkan seramai 9,000 pelajar lagi untuk mendapatkan pendidikan dan latihan di institusi MARA,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Graduan Terbaik Diploma Sesi Januari-Jun 2017, Muhammad Zaim Zainol, 22, berkata pengurusan masa yang baik selain mementingkan kualiti dalam setiap perkara dilakukan menjadi resepi kejayaannya.

“Buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa hargai masa serta tidak lupa berdoa jika mahu berjaya,” katanya.

Beliau memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA), 3.89 bagi kursus Higher National Diploma (HND) dalam Kejuruteraan Elektronik di KKTM, Petaling Jaya.

Monday, 28 May 2018 01:47

IKM JB PERLUASKAN PROJEK MEKAR

SKUDAI – Pasukan Khidmat Masyarakat Institut Kemahiran MARA Johor Bahru (IKMJB) memperluaskan Projek Mekar dengan membantu Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, Kempas.

Penyelaras Program, Mohd Ariff Yahaya berkata, projek yang juga aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) institut berkenaan itu merupakan kerjasama pertama dijalinkan bersama Pertubuhan Amal Yalla bagi membantu menambah baik kemudahan di asrama berkenaan.

Katanya, projek itu turut mendapat penyertaan 45 pelajar IKMJB dari bidang kimpalan dan elektrikal bersama pensyarah dan kakitangan.

“Menerusi projek ini kami memberi tumpuan menaik taraf dan menambah baik kemudahan asrama melalui kerja-kerja mengecat, menaik taraf sistem pendawaian, menambah lampu dan kipas serta membaik pulih peralatan elektrik.

“Kita turut sumbang peralatan seperti rak kasut dan meja komputer yang dibuat oleh pelajar IKMJB selain sumbangkan 30 tilam, bantal, cadar, alat tulis serta barang mandian,”katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Ariff berkata, program merupakan aktiviti CSR kali keenam dianjurkan IKMJB pada tahun ini untuk bantu pusat tahfiz dan rumah kebajikan anak yatim sekitar kawasan Johor Bahru.

Monday, 28 May 2018 01:01

USAHA PERKASA TVET

PADANG TERAP 27 Feb. – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkasakan dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran selaras status Malaysia menuju negara maju.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis TVET Kebangsaan melibatkan tujuh kementerian ditubuhkan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang dapat memenuhi keperluan industri.

“Majlis TVET Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membabitkan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kerja Raya.

“Maknanya semua kementerian mempunyai institusi sendiri untuk mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran yang menawarkan pensijilan, diploma mahupun ijazah kepada rakyat negara ini terutamanya golongan muda,” kata­nya selepas melancarkan program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1mpak) di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, Malaysia memerlukan tenaga kerja TVET terutama bidang berteknologi tinggi seperti automotif selain memenuhi sektor teknologi hijau, perkhidmatan dan pelancong untuk ke arah negara maju.

Katanya, Kementerian Pendidikan memastikan jurusan TVET yang ditawarkan di Kolej Vokasional kendaliannya memenuhi keperluan industri.

“Sebanyak 75 peratus daripada 15,000 pelajar lulusan diploma dari Kolej Vokasional berjaya mendapat pekerjaan. Kita menawarkan program diploma TVET yang dikehendaki pasaran kerja bagi memastikan graduan Kolej Vokasional mendapat pekerjaan selepas tamat belajar,” katanya.

"Mewujudkan 1 JUTA Perantisan di Sektor Awam dan Swasta Bagi Wanita dan Belia"

Majlis Perasmian MyApprenticeship telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertempat di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala aLumpur.

Antara atur cara majlis pada perasmian ini ialah pertukaran Dokumen Kerjasama Agensi Kerajaan dengan Industri. Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato' Azhar Bin Abdul Manaf turut serta di dalam majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama di antara MARA dan SIRIM Berhad.

(1) Diploma in Computer Engineering Technology - (Big Data Analytics)

(2) Diploma in Computer Engineering Technology - (Cyber Security)

(3 Diploma in Computer Engineering Technology - (Cloud Computing)

Sebagai info bersama :

• Program MyApprenticeship merupakan cetusan idea yang diberi oleh YAB Perdana Menteri pada NBOS Summit pada 22.02.2018.

• Sasarannya adalah untuk mewujudkan satu juta peluang perantis di sektor awam dan swasta terutamanya bagi golongan belia dan wanita.

• Program ini diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kewangan dengan penglibatan beberapa Kementerian yang terlibat dengan program perantisan.

• Program ini juga mewujudkan sistem padanan pekerjaan di antara graduan atau belia dan majikan, serta memberikan latihan kemahiran yang diperlukan oleh majikan agar graduan atau belia ini diambil terus bekerja di syarikat mereka.

• Objektif MoU ini adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, meningkatkan penyelidikan dan pembangunan yang diterajui industri, malah untuk meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET melalui pendekatan :
(1) Mengupayakan industri untuk menerajui pembangunan kurikulum;
(2) Menghapuskan pertindihan program dan sumber; dan
(3) Meningkatkan keberkesanan kos dan pelaburan MARA.

• Skop pelaksanaan kerjasama :
(1) Industry-led Courseway Embedment for Diploma of Computer Engineering Technology.

(2) Integrated System Solution (ISS) :
* Pembangunan Kurikulum (Industry-Led Courseware) dan Perolehan Alatan (Teaching Laboratories)

* Training of Trainer (Latihan kepada Pengajar)

* Employability Guarantee - pelajar graduate akan diambil pekerja oleh syarikat Telekom, Huawe, TMnet dan lain-lain (MyApprenticeship).

- Smart Partnership in ICT Industries.

* Funding dari industri - Model pembiayaan bersama (MARA - SIRIM dan rakan industri).

YBhg Prof Emeritus Dato' Dr. Abu Azam Bin Md Yassin, Ahli Majlis MARA (berdiri lapan dari kanan) bergambar kenangan bersama para pemenang i-Tec 2017

Kemaman, 12 September – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menganjurkan International Innovation, Technology & Conference 2017 (Program i-Tec’17) bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman, Terengganu pada 11 – 12 Septermber 2017.

Ahli Majlis MARA, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam bin Md Yassin berkata, program yang bertemakan “Research Evolution and Transformation” adalah untuk memperlihatkan kepada umum revolusi TVET MARA pada masa hadapan, yang mana terdapat lima aktiviti utama yang dianjurkan iaitu pembentangan kertas kajian, pameran dan pertandingan inovasi, forum industri, perkongsian teknologi minyak dan gas daripada pemain industri.

“Sebanyak 121 produk inovasi daripada 67 institusi pendidikan seluruh negara telah mengesahkan penyertaan dalam penganjuran kali ini, selain itu sebanyak 62 kertas kajian daripada 26 institusi telah dibentangkan untuk dinilai dan dikongsi bersama,” katanya.

Menurut Abu Azam, terdapat juga penyertaan seramai 12 orang pelajar antarabangsa yang terlibat sebagai pembentang kertas kajian, yang mana kertas kajian mereka akan dinilai dan diadili bagi mendapat Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik dan Pembentang Kertas Kajian Terbaik.

“Bagi perkongsian teknologi pula terdapat tiga syarikat yang akan membentangkan tentang teknologi terkini dalam bidang minyak dan gas seperti teknologi PPETS (Production Plant for Education Trainning System), Offshore Trainning Simulator (OTS) dan Software Smart Plant, yang mana ia merupakan satu keperluan bagi pihak industri minyak dan gas selaras dengan konsep Industri 4.0,” ulas beliau.

Menurut Abu Azam, kesemua sistem ini ada ditempatkan di KKTM Kemaman bagi tujuan akademik yang mana institusi ini turut mempunyai “Offshore Structure Lab”, “Rotating Equipment Lab”, “Control System Lab”, Electrical and Electronic Lab” dan pelbagai lagi fasiliti untuk melahirkan pereka tempatan dalam bidang minyak dan gas di peringkat diploma.

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama UniKL MFI, UMP, MARA-Aerotech dan pelbagai pihak yang terdiri daripada pemain industri, institusi pengajian tinggi dan perekacipta tempatan, yang mana program i-Tec’7 ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada agenda Transformasi Malaysia dalam menghadapi Industri 4.0.

Sepanjang tahun 2017, MARA telah menaiktaraf beberapa program sijil kepada program diploma yang melibatkan lima (5) buah IKM. Dua (2) program diploma baharu turut diperkenalkan iaitu satu (1) program kluster Pemprosesan Bahan di KKTM Masjid tanah, dan satu (1) program Kluster Automotif di IKM Besut. Ini sejajar dengan  keperluan industri yang bertaraf global, berpendapatan tinggi dan memerlukan individu-individu yang berkemahiran tinggi seiring dengan keperluan semasa.

 

NAIKTARAF DARI PROGRAM SIJIL KEPADA DIPLOMA

KOMPETENSI ELEKTRIK (3 PHASE)                     PROGRAM BARU                                                                                    

- IKM BINTULU                                                 KLUSTER PEMPROSESAN BAHAN

- IKM JOHOR BAHRU                                         1 PROGRAM KKTM MASJID TANAH

- IKM KOTA KINABALU                                       DIPLOMA INDUSTRI PEMBUATAN KOMPOSIT AEROANGKASA

- IKM KUALA LUMPUR

- IKM KUALA KUCHING                                      KLUSTER AUTOMOTIF

                                                                                             1 PROGRAM IKM BESUT

                                                                                             DIPLOMA TEKNOLOGI AUTOMOTIF

Thursday, 02 November 2017 11:18

ANUGERAH E-Usahawan

KKTM dan IKM telah memenangi pelbagai anugerah semasa Anugerah Daya e-Usahawan pada 1 Oktober 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

 

1. Anugerah eUsahawan Muda Terbaik 2017

Tempat ketiga Wan Mohd Shah Riezal Bin Abdullah dari KKTM Pasir Mas.

 

2. Anugerah Pensyarah Terbaik eUsahawan 2017

Tempat Ketiga Wan Zaiti Hastuti Binti Zahari dari KKTM Pasir Mas.

 

3. Anugerah TVET Terbaik eUsahawan 2017

Tempat Kedua KKTM

Page 4 of 4

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

SSL Cert

 

 

 

 

 

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search