Friday, 28 May 2021 04:04

MIMPILAH SEBESARNYA DAN DENGAN MIMPI ITU KEJARKAN IA MENJADI NYATA

Muhamad Alif bin Hamdi, alumni Sijil Kimpalan dan Fabrikasi Logam IKM JB (2003/2004).

Muhamad Alif berasal dari Pasir Gudang, Johor. Berusia 36 tahun dan kini bekerja sebagai Jurutera Pemeriksa Dalam Air (Underwater Inspection Engineer) di Boskalis Subsea, sebuah syarikat berpengkalan di Belanda. Memulakan perbualan, beliau berkongsi bersyukur menyambung pengajian ke IKM Johor Bahru selepas SPM . “Keputusan peperiksaan SPM saya agak teruk, Mulanya saya buntu untuk sambung belajar. Alhamdulillah, keputusan menyambung pengajian di IKM JB adalah antara pilihan terbaik dalam hidup saya”, katanya.

Menurut Muhamad Alif, di IKM JB pelajar bukan sahaja belajar ilmu kemahiran seperti kimpalan, bahkan ilmu tentang hidup. Selepas dua tahun pengajian di IKM JB termasuk 6 bulan latihan industri, laluan pengajian beliau diteruskan ke peringkat diploma di UniKL Malaysia France Institute (MFI) dalam program Teknologi Kimpalan (Welding Technology) dan seterusnya ijazah pertama di universiti sama.

“Saya tamat belajar tahun 2007, bekerja sebagai ‘Underwater Welder’, seterusnya ‘Inspection Diver’ dan kini ‘Underwater Inspection Engineer’ di Dubai. Apa yang paling membanggakan, selama 14 tahun bekerja dalam bidang ini, saya kerap bertemu atau bekerja bersama lepasan IKM JB”, sambungnya lagi.

Ditanya lanjut pengalaman menarik sepanjang berkecimpung dalam bidang kimpalan, beliau berkata peluang bekerja sambil mengembara adalah satu kelebihan. Menurut beliau, pada mulanya beliau dihantar bertugas di sekitar Asia, sebelum ke Belanda.

”Saya pernah berkerja di NorthSea, kemudian berpindah ke England dan negara lain termasuk Republic of Congo dan beberapa negara lagi. Bekerja di lautan antara paling berbahaya di dunia iaitu Port Harcourt, Nigeria adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Selain itu, saya juga berpeluang ke Iraq serta beberapa tempat di Timur Tengah dan juga China”, katanya.

Ketika ditanya pendapat tentang IKM JB beliau berkata, IKM JB telah membentuk beliau menjadi dirinya pada hari ini. MARA dan IKM JB khasnya telah memberi peluang kedua kepada beliau dan lepasan SPM lain yang kurang atau tidak cemerlang dalam bidang akademik untuk berjaya dalam hidup.

“Saya masih ingat mantan Pengetua IKM JB waktu itu, Encik Wan Sabri menyampaikan rasa bangga beliau melalui ibu saya apabila saya menyambung pengajian ke UniKL MFI. Saya sendiri tidak pernah menyangka, walaupun keputusan peperiksaan SPM saya dianggap teruk, saya mampu sampai ke tahap ini,” katanya lagi.

Beliau yang dikenali sebagai Pak Ya sewaktu belajar di IKM JB berkata, jika diberi peluang dan kesempatan beliau ingin berkongsi kisah dan pengalaman kepada pelajar IKM JB.

“Saya bangga menyatakan kejayaan saya bermula di IKM JB, berkat jasa, ilmu dan pengorbanan bekas pensyarah saya dan juga MARA. Jika kita fokus untuk capai impian, tidak ada apa yang mustahil.

“Saya habiskan masa selama sembilan tahun sebelum berjaya menggenggam segulung ijazah dan bekerja dalam bidang yang saya impikan. Mimpilah sebesarnya dan dengan mimpi itu lah kamu kejarkan ia menjadi nyata”

Mengakhiri perbualan, Alif menyatakan “Jika saya boleh, anda pasti boleh !”.

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

SSL Cert

 

 

 

 

 

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search