JUVERT BUAT PILIHAN TEPAT

Kuala Lumpur, 21 November 2019 – Juvert Sooi, 20, merupakan pelajar Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu (IKM KK) Sabah, percaya dirinya mempunyai bakat yang besar dalam  baik pulih kenderaan iaitu Car Painting.

Juvert merupakan penerima ‘ Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2019 ’ dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) baru-baru ini serta sedang bersiap siaga ke Asia Skills Competition, Abu Dhabi dan Shanghai pada tahun 2021 bagi mewakili negara Malaysia.

Anak muda kelahiran Sabah tersebut akui dirinya lemah dalam bidang akademik dan bertekad untuk menceburi bidang kemahiran selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia pada dua tahun yang lalu.

“Saya akui diri saya memang lemah dalam bidang akademik. Saya hanya lulus beberapa subjek sahaja dalam SPM.

Saya tidak mahu mengalah begitu sahaja dan mengambil keputusan mencari bidang kemahiran yang boleh saya ceburi,” katanya.

Akhirnya Juvert mengambil keputusan untuk menjadi pelajar IKM KK pada tahun 2018 dengan memilih bidang Kemahiran Baik Pulih Kenderaan setelah diperkenalkan oleh pak ciknya yang berkhidmat sebagai juruteknik di situ.

“Saya mengenali IKM KK melalui pak cik saya yang banyak memberi maklumat dan sokongan untuk saya menceburi bidang ini khususnya cat badan kereta.

Semangat perjuangan Juvert amat tinggi kerana minat yang mendalam untuk menceburi bidang tersebut hingga mampu menghasilkan pencapaian diluar jangkaannya sendiri.

Anak ketiga daripada lapan adik beradik itu turut rasa tercabar apabila mendepani cabaran dan persepsi orang luar yang menggangap dirinya tidak berjaya dalam akademik akan menjadikan kehidupannya lebih buruk.

“Saya berazam untuk membuktikan diri saya lebih berjaya dan berazam agar suatu hari nanti saya akan menjadi usahawan yang terkenal dalam bidang ini.

Sasaran dan perancangan saya selepas ini adalah membawa pulang pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ujarnya.

Beliau juga merasakan bahawa apabila menjadi pelajar IKM, banyak input yang diperolehi dalam usaha mengembangkan kemahiran mengecat kereta. Bermula daripada sifar menjadikan dirinya lebih mahir dalam kursus tersebut.

“Pada masa kini, saya dimaklumkan bahawa pihak pengurusan merancangkan perjalanan saya untuk menyertai latihan industri dalam syarikat automatif besar seperti BMW dan Mercedes.

Sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang ini kerana ianya satu peluang besar untuk mencari pengalaman dan mengasah bakat kemahiran yang saya minati ini,” kata Juvert.

Menurut Encik Fairuz, 35, selaku jurulatih dan tenaga pengajar Juvert, beliau menyatakan potensi Juvert dalam menghasilkan kerja yang diberikan menonjolkan Juvert sememangnya mempunyai bakat yang besar serta boleh pergi lebih jauh.

“Pada mulanya, saya memang dah nampak potensi Juvert semasa mengendalikan kelas kemahiran ini. Saya suka memberi situasi masalah secara praktikal kepada pelajar untuk diselesaikan.

Antara pelajar yang sering pergi ke depan untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah Juvert. Bermula dari situ saya telah mengenal pasti kelebihan Juvert untuk maju ke hadapan,” kata jurulatih itu.

Antara perancangan Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA bersama IKM KK ialah memberikan laluan Juvert menyertai latihan industri automatif dan peluang bekerja di syarikat besar seperti Mercedes dan BMW.

Anak muda tersebut memberi pesanan dengan menggalakkan penyertaan golongan belia untuk masuk menceburi bidang TVET sedia ada seperti IKM kerana ianya merupakan satu laluan yang baik.

“Kita harus berfikiran terbuka dan tidak hanya memandang akademik hanyalah satu-satunya laluan untuk berjaya tetapi dengan kesungguhan dan minat yang mendalam sesuatu benda juga boleh membawa kita ke peringkat yang lebih jauh,” kata Juvert.

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

SSL Cert

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search