PELAJAR IPMA PROGRAM MARA-OISCA DIRAI

Kuala Lumpur, 22 Februari 2019 : Seramai 18 orang pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang mengikuti program latihan MARA-OISCA diraikan di ibu pejabat MARA di sini. Antaranya 13 orang pelajar yang telah tamat latihan dan 5 orang pelajar yang akan menjalani latihan internship di syarikat-syarikat Jepun.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf, MARA-OISCA adalah sebuah organisasi yang telah ditubuhkan dengan kerjasama MARA dan OISCA sejak tahun 1967. MARA-OISCA memberi peluang kepada pelajar IPMa untuk menjalani latihan sambil bekerja di syarikat-syarikat Jepun. Antara bidang-bidang yang ditawarkan adalah penyaman udara dan penyejukan, bangunan, automotif, pemesinan, kimpalan dan pertanian.

“MARA-OISCA adalah organisasi yang memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar IPMa untuk menjalankan latihan sambil bekerja di syarikat-syarikat terkemuka di Jepun terutamanya dalam bidang TVET,” kata Dato’ Azhar.

Pelajar yang telah tamat latihan di Jepun, Muhammad Yusri Razali berkata peluang menjalankan latihan di Jepun amat bermakna dan banyak cabaran serta pengalaman baru yang dapat dipelajari terutamanya dalam penggunaan teknologi Jepun yang sangat maju.

“Banyak pengalaman yang saya dapat, terutamanya penggunaan teknologi Jepun yang sangat canggih. Cabaran utama adalah komunikasi dalam bahasa Jepun dan saya amat berterima kasih kepada MARA kerana melatih saya berbahasa Jepun sebelum memulakan latihan di sana,” kata Yusri yang juga alumni pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading.

Pada tahun 1991, MARA-OISCA mula diasaskan di bawah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA (BKT) dan telah dirasmikan pada 31 Julai 1995 oleh Dr. Yoshiko Nakano, Presiden OISCA International Jepun. Sesuai dengan matlamat MARA iaitu melahirkan usahawan muda. MARA telah menghantar pelajar dengan purata 554 orang pelajar di 13 buah syarikat di Jepun sehingga kini.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah wakil dari syarikat Jepun, Seimei Engineering, Mohd Hafezal Mat Nawi dan Shiromoto Hirokazu serta syarikat Mikawa Daihatsu, Iha Itsuki, Urata Go dan Aoki Rina.

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

SSL Cert

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search