Monday, 31 May 2021 02:32

DARI ‘SIKNEY’ KE HAMAMATSU

“Alhamdulillah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jangan berhenti usaha, terimalah segalanya walaupun sekecil-kecil perkara. Cari ilmu sampai bila-bila tak habis. Harap semuanya akan jadi yang terbaik. Terima kasih atas segalanya” – Amin Majid. 25 April 2018, Hamamatsu.

Siapa sangka dengan segulung sijil, anak muda ini berjaya menjejakkan kaki ke Negara Matahari Terbit demi mencapai cita-cita dalam bidang yang diceburi. Aminuddin bin Abd. Majid berasal dari Baling Kedah dan merupakan anak kelima kepada pasangan Abd Majid bin Md Isa dan Kamariah bin Mohd Sharif adalah graduan Sijil Teknologi Kejuruteraan Penyejukan dan Penyamanan Udara IKM Sik, 2017. Tamat pengajian dari Sekolah Menengah Teknik Kajang dalam bidang yang sama. Amin memilih IKM Sik sebagai laluan akademik pada Januari 2014 untuknya mendalami bidang tersebut walaupun keputusan SPM melayakkan beliau menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selama 2 tahun di IKM Sik, ketekunan dan kecemerlangan sahsiah beliau terbukti sebagai Ketua Pelajar Program dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), di samping bergiat aktif dalam Kelab Seni dan Kebudayaan. Disenangi oleh rakan-rakan dan pensyarah, Amin sentiasa menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar yg lain terutamanya apabila keputusan peperiksaan akhir setiap semester mendapat Anugerah Dekan.

Amin terus mengorak langkah dengan kejayaannya menyertai Program Pelajar Lanjutan Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA sebagai persediaan ke Jepun bagi mengikuti sesi latihan sambil bekerja selama 3 tahun. Selepas tamat sesi persediaan di MJII Beranang, pada 21 Februari 2018 beliau berangkat ke Jepun bersama seramai 18 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai bidang iaitu Penyamanan Udara, Bangunan, Automatif, Pembuatan, Agro dan Elektronik yang merupakan pelajar IPMA yang telah lulus kursus asas dan temuduga dengan syarikat Jepun serta MARA.

“Saya tidak bersendirian, selepas saya lulus temuduga dengan syarikat Jepun, saya juga berkongsi peluang ini bersama rakan lain. Alhamdulillah, saudara Hamizan Zulkefli dan seterusnya Mohd Haiqal bawah program SPP IKM Sik cuma berlainan semester juga antara yang berjaya melayakkan diri ke Jepun.

“Di jepun kami hanya menggunakan bahasa jepun sahaja. Tak faham tak boleh nak survive. Di marahi dan di maki adalah perkara biasa. Itulah cara kami belajar. Teringat masa belajar di IKM Sik, jutaan terima kasih kepada tenaga pengajar SPP yang berpengalaman mengajar kami antaranya Encik Ismail, Encik Khazaimi, Encik Azlan, Arwah Encik Razman, Encik Zamri, En Yusmarizal, Encik Razali, Encik Khairul Anwar dan Encik Ismail juruteknik. Tidak lupa juga kepada semua tenaga pengajar Pengajian Am dan dari program lain. Apa yang saya belajar di IKM Sik boleh kata 100% berkait rapat apa yang saya belajar di Jepun.”

Melalui cabaran dan liku-liku sebagai anak perantau di negara serba maju, Amin menimba pengalaman berharga dengan suasana dan budaya kerja yang pantas bersama pekerja mahir tempatan di Seimei Engineering Co; Ltd. Jadual kerja yang padat dan perbezaan bahasa bukan halangan untuknya bertahan sehingga tamat sesi latihan. Amin memanfaatkan kemudahan dan elaun yang diberikan oleh MARA sebaik-baiknya dan bertekad untuk bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengambil cuti atau pulang ke tanahair. Beliau berjaya menamatkan latihan dan pulang ke Malaysia pada 15 Februari 2021 dengan segulung Diploma in Industrial Internship (Freezing and Air-Conditioning Apparatus Installing).

Segala kegigihan dan kesungguhan terbalas apabila beliau terus ditawarkan bekerja di syarikat yang sama sebaik sahaja kembali ke tanahair. Kini Amin memulakan kerjaya sebagai Juruteknik Kanan di Seimei Engineering (M) Sdn. Bhd, Shah Alam.

Semoga perjalanan kerjaya Amin menjadi pendorong kepada belia hari ini untuk menyertai bidang teknikal dan vokasional. Sesungguhnya TVET MARA bukanlah pilihan kedua.

Penulis  : Nurzumira binti Ab. Rahin (IKM Sik, Kedah)

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

SSL Cert

 

 

 

 

 

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search