KKTM LEDANG DINOBAT SEBAGAI JOHON KECERIAAN KEMERDEKAAN NEGERI JOHOR 2018

Button

BATU PAHAT, 8 Oktober – KKTM Ledang sekali lagi telah berjaya merangkul kejayaan sebagai juara dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bagi kategori IPT Awam/ Swasta.

“Objektif utama program itu bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara, di samping mendorong serta mencetus kreativiti rakyat dalam menyemarak sambutan bulan kemerdekaan negara” ucap Zainudin Haji Ismail, Pengarah Penerangan Negeri Johor.

Tambah beliau lagi, “Antara yang dapat dilihat melalui pertandingan ini adalah keunikan cara dan gaya jabatan serta institusi yang mengambil bahagian dalam mempamerkan dan mengibarkan Jalur Gemilang sehingga menjadi tumpuan masyarakat sekeliling, serta menarik minat pengguna jalanraya yang menggunakan laluan tersebut”.

KKTM Ledang yang di wakili oleh Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan, Che Safie Che Omar telah menerima Sijil Penghargaan dan wang tunai sebanyak RM2000 dalam majlis penyampaian yang disempurnakan oleh Dato’ Mohd Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat.

Dengan kemenangan ini telah melayakkan KKTM Ledang mewakili Negeri Johor dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 dalam kategori IPT Awam/Swasta peringkat kebangsaan.

FORUM PENGUKUHAN AKIDAH ASWAJA MENJADI BENTENG KEKUATAN DIRI WARGA KKTM LEDANG

Button

Tangkak, 9 Oktober – Seramai 600 orang peserta di kalangan pelajar dan warga kerja KKTM Ledang serta masyarakat setempat telah mengikuti Forum Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) yang telah diadakan di Dewan Al Khindi, KKTM Ledang malam tadi anjuran bersama KKTM Ledang dan Bahagian Penyelidikan Pejabat Kadi Daerah Tangkak.

Forum ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kefahaman Islam di samping menjelaskan serta mengukuhkan pegangan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah kepada masyarakat.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail berkata dalam ucapan perasmiannya, isu akidah ini sangat releven jika mahu dibincangkan dari semasa ke semasa kerana tidak dinafikan semakin banyak ancaman luar yang berpotensi merosakkan akidah umat Islam seperti kemasukan ajaran sesat.

“Saya percaya program sebegini mampu menjadi perintis kepada usaha MARA dalam melahirkan modal insan global dan berintegriti tanpa mengabaikan nilai-nilai keagamaan. Graduan daripada MARA perlu mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi, personaliti yang unggul dan pengetahuan agama yang sempurna,” ujarnya.

IKM BINTULU, MSIEA BEKERJASAMA DALAM BIDANG DANDANG, PEMBAKARAN WAP ENJIN

Button

BINTULU: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu bekerjasama dengan Malaysian Steam and Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA)  bagi memartabatkan pengamal dan Orang Yang Kompeten (OYK) dalam bidang dandang dan pembakaran wap dalaman enjin.

Kerjasama itu dimeterai pada Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) antara kedua-dua pihak di sini kelmarin.

Setiausaha Kehormat MSIEA Muhammad Salahuddin Abdul Majid berkata kerjasama itu amat baik memberi ruang kepada kedua-dua pihak memperkembang informasi serta teknologi berkaitan untuk menjadikan lepasan IKM terutama IKM Bintulu pekerja cekap.

“Ia juga memantapkan kebolehpasaran pelajar memasuki industri penting seperti minyak dan gas, loji jana kuasa dan sebagainya,” katanya pada Majlis Menandatangani LOI yang disaksikan lebih 50 peserta mewakili pelbagai industri.

Dalam pada itu, Pengarah IKM Bintulu Dr Mohd Nawawi Omar berkata IKM mengoptimumkan kerjasama dalam bantuan khidmat nasihat berkaitan penambahbaikan silibus serta peralatan  sedia ada di institut itu.

“Seperti Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Majlis Amanah Rakyat (MARA) ada perbezaan dengan institusi latihan kemahiran lain.

“Pelajar bergraduat daripada Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) atau IKM ada sijil profesional tambahan diterima daripada sijil dan diploma dikeluarkan oleh MARA,” jelasnya.

Pensyarah Jabatan Operasi Loji IKM Bintulu Michael Jangi menyifatkan kerjasama itu rahmat kepada pelajar di bawah jabatan beliau mampu meningkatkan pengetahuan secara teori mahupun amali melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada tenaga pengajar mahir.

HARI SUKAN NEGARA 2018 PERINGKAT KKTM LEDANG BERLANGSUNG MERIAH

Button

TANGKAK, 13 Oktober – Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang telah mengadakan Sambutan Hari Sukan Negara 2018 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) KKTM dengan kerjasama Kelab SAIKEL, kelab KKTML Runners & kelab rugbi Mammoths KKTM Ledang.

Acara bermula seawal jam 7.00 pagi itu disertai seramai 800 peserta di kalangan pelajar dan warga kerja KKTM Ledang, kelab rugbi sekitar Johor, Melaka dan Selangor serta penduduk sekitar yang turut hadir bersama ahli keluarga meluangkan masa bagi menyertai acara yang dianjurkan.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, sambutan Hari Sukan Negara (HSN)@KKTM Ledang hari ini merupakan platform terbaik dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat melalui acara sukan sukan disamping mengeratkan silaturrahim dan perpaduan dalam kalangan warga KKTM Ledang bersama masyarakat sekitar, katanya semasa majlis penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s.

Sementara itu, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s setelah menewaskan kelab rugbi Iskandar Troopers dari Mersing. Bagi kategori wanita, pasukan SMK Seri Pulai muncul johan manakala kelab Mammoth RC KKTM Ledang sekadar berpuas hati selaku naib juara.

BICep 2018 BANTU PELAJAR TENTUKAN LALUAN KARIER

Button

Tangkak, 16 Oktober – Seramai 361 pelajar tahun akhir Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang telah menamatkan latihan industri didedahkan dengan informasi berguna dalam penentuan laluan kerjaya industri bioperubatan melalui penganjuran program Biomedical Industry for Career Path 2018 (BICeP’18).

Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, program yang diadakan pada hari ini amat signifikan dalam menyalurkan maklumat yang berguna kepada para pelajar terlibat sekali gus membolehkan mereka bersedia untuk mengharungi kerjaya dalam bidang bioperubatan kelak.

“Dengan fasiliti yang canggih serta warga kerja yang berpengalaman, KKTM Ledang sememangnya menjadi contoh pihak industri dan institusi pendidikan lain dalam bidang bioperubatan, justeru program hari ini amat bertepatan dalam usaha berterusan kita memastikan modal insan yang dihasilkan adalah berkualiti serta menepati kehendak industri” katanya.

ANUGERAH KECEMERLANGAN DAN APRESIASI SISWA KKTM LEDANG RAI 121 PELAJAR

Button

TANGKAK, 16 Oktober – 121 pelajar diraikan di Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apresiasi Siswa KKTM Ledang yang dianjurkan bersekali dengan ‘BICeP 2018 Gala Dinner’.

Bertemakan “Glamz & Glitz”, majlis ini bertujuan mengeratkan silaturrahim di samping penghargaan kepada pelajar semester akhir yang baru menamatkan sesi Latihan Industri dan memperoleh keputusan akademik yang cemerlang pada semester sebelumnya.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, setiap pelajar perlu berfikiran terbuka dan mempamerkan kecemerlangan diri khususnya nilai murni dan sikap positif dalam meneruskan fasa berikutnya sama ada memilih untuk melanjutkan pelajaran, bekerja, mahu pun menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

SISWI ROBOT TEMPUR

Button

BERANANG, 24 Oktober- Robot tempur ciptaan pelajar-pelajar MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Amira Syahdina Ahmad Suffian, Nur Alia Syafiqah Hassan Buhari dan Anisah Mardhiyyah Mohamad Zaki pernah menyertai kejohanan Youth Robot Challenge 2018 (Y-RoboC’18) pada 14 hingga 16 Oktober 2018 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Sepang baru-baru ini sebagai latihan pemanas badan sebelum mewakili MJII di Robofighto Competition 2018, Beranang, Selangor.

Robot ciptaan ini mempunyai kelebihan bertempur yang telah dinaiktaraf dari segi spesifikasi kelajuan motor dan kekebalan senjata.

Menurut Amira, mereka perlu menghasilkan robot tempur melalui syarat yang ditetapkan penganjur iaitu ukuran robot mestilah 300mm tanpa senjata dan berat tidak melebihi 8kg.

“Alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan robot tempur dalam tempoh 30 hari dan berlatih setiap malam bagi memastikan tiada masalah semasa pertempuran.

“Kami sentiasa peka dengan elemen penting dalam penciptaan robot tempur ini kerana jika kami buat satu kesilapan pasti ia tidak akan berfungsi,” katanya di pertandingan Robofighto 2018 MJII di sini.

 

 

 

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

MOBILE APPS

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search