PENDIDIKAN

PENDIDIKAN (24)

Dari kiri Amira, Nur Alia dan Anisah, pelajar-pelajar mewakili MJII Robofighto Competition 2018.

BERANANG, 24 Oktober- Robot tempur ciptaan pelajar-pelajar MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Amira Syahdina Ahmad Suffian, Nur Alia Syafiqah Hassan Buhari dan Anisah Mardhiyyah Mohamad Zaki pernah menyertai kejohanan Youth Robot Challenge 2018 (Y-RoboC’18) pada 14 hingga 16 Oktober 2018 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Sepang baru-baru ini sebagai latihan pemanas badan sebelum mewakili MJII di Robofighto Competition 2018, Beranang, Selangor.

Robot ciptaan ini mempunyai kelebihan bertempur yang telah dinaiktaraf dari segi spesifikasi kelajuan motor dan kekebalan senjata.

Menurut Amira, mereka perlu menghasilkan robot tempur melalui syarat yang ditetapkan penganjur iaitu ukuran robot mestilah 300mm tanpa senjata dan berat tidak melebihi 8kg.

“Alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan robot tempur dalam tempoh 30 hari dan berlatih setiap malam bagi memastikan tiada masalah semasa pertempuran.

“Kami sentiasa peka dengan elemen penting dalam penciptaan robot tempur ini kerana jika kami buat satu kesilapan pasti ia tidak akan berfungsi,” katanya di pertandingan Robofighto 2018 MJII di sini.

Tambah Nur Alia, minat mencipta robot tempur ini dapat melatih beliau untuk lebih berdisplin, kreatif dan berinovasi. Malah, pengajaran di MJII ini amat menggalakkan pelajar mereka mencipta sesuatu yang dapat memberikan manfaat terutamanya dalam bidang robotik dan automasi.

“Saya mula tertarik dengan robot tempur ini, apabila melihat rancangan Battelbots dan tidak menyangka belajar di MJII ini memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan robot tempur sendiri,” katanya.

Bagi Anisah pula, soal lelaki atau perempuan tidak menjadi halangan untuk menghasilkan robot tempur walaupun majoriti lelaki yang mendominasi ciptaan robot ini.

“Walaupun saya pelajar perempuan, minat terhadap robot tempur amat mendalam dan tidak akan berputus asa untuk mempelajarinya sehingga saya dapat menghasilkan ciptaan yang terbaik,” katanya.

Pelajar-pelajar MJII ini berharap agar MARA sentiasa memberi sokongan yang berterusan dalam menganjurkan pertandingan Robofighto pada masa akan datang bagi memberi galakkan dan pendedahan kepada individu yang meminati bidang robotik.

Pengarah KKTM Ledang menyampaikan Anugerah Tokoh Pelajar kepada saudari Hanun Hamizah binti Zakria.

TANGKAK, 16 Oktober – 121 pelajar diraikan di Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apresiasi Siswa KKTM Ledang yang dianjurkan bersekali dengan ‘BICeP 2018 Gala Dinner’.

Bertemakan “Glamz & Glitz”, majlis ini bertujuan mengeratkan silaturrahim di samping penghargaan kepada pelajar semester akhir yang baru menamatkan sesi Latihan Industri dan memperoleh keputusan akademik yang cemerlang pada semester sebelumnya.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, setiap pelajar perlu berfikiran terbuka dan mempamerkan kecemerlangan diri khususnya nilai murni dan sikap positif dalam meneruskan fasa berikutnya sama ada memilih untuk melanjutkan pelajaran, bekerja, mahu pun menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

 

Warga KKTM Ledang bergambar bersama selepas majlis.

“Kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin kejayaan dalam kerjaya dan perlulah diseimbangkan dengan kemahiran insaniah, nilai agama dan ko-kurikulum”, ujarnya.

Kemuncak majlis adalah penyampaian sijil penghargaan dan anugerah kecemerlangan kepada 118 pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred (GPA) 3.50 hingga 3.99, serta 3 pelajar yang mendapat GPA 4.0.
Anugerah-anugerah lain termasuklah anugerah kecemerlangan sukan, khidmat masyarakat, kemahiran & inovasi, dan anugerah keusahawanan.

Anugerah Tokoh Pelajar KKTM Ledang telah berjaya disandang oleh Cik Hanun Hamizah dari program Radiologi & Pengimejan atas kecemerlangan dalam akademik dengan mendapat GPA 4.0 pada setiap semester serta turut aktif dalam akitiviti kokurikulum di peringkat kolej, kebangsaan dan antarabangsa.

Penerima Anugerah Keusahawanan pula dinobatkan kepada Muhammad Danial Zulkifli yang berjaya merekodkan jualan terkumpul mencecah RM200 ribu.

Kejayaan dan kecemerlangan pelajar-pelajar ini pastinya memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar-pelajar KKTM Ledang lain untuk terus berusaha melakar pencapaian cemerlang di semua bidang yang diceburi dan menaikkan nama MARA ke persada dunia.

Tangkak, 16 Oktober – Seramai 361 pelajar tahun akhir Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang telah menamatkan latihan industri didedahkan dengan informasi berguna dalam penentuan laluan kerjaya industri bioperubatan melalui penganjuran program Biomedical Industry for Career Path 2018 (BICeP’18).

Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, program yang diadakan pada hari ini amat signifikan dalam menyalurkan maklumat yang berguna kepada para pelajar terlibat sekali gus membolehkan mereka bersedia untuk mengharungi kerjaya dalam bidang bioperubatan kelak.

“Dengan fasiliti yang canggih serta warga kerja yang berpengalaman, KKTM Ledang sememangnya menjadi contoh pihak industri dan institusi pendidikan lain dalam bidang bioperubatan, justeru program hari ini amat bertepatan dalam usaha berterusan kita memastikan modal insan yang dihasilkan adalah berkualiti serta menepati kehendak industri” katanya.

Pengarah MARA Negeri Johor menyampaikan sijil penghargaan kepada moderator forum.

Beliau berkata demikian semasa hadir mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Dato’ Roseli Dol merasmikan BICep’18 di sini hari ini.

Antara pengisian program adalah Biztalk By MARA Johor, taklimat Degree in UniKL: The Way Forward, dan MARA Biomedical Experts Seminar (MARA BES) serta sesi temu duga kerja oleh industri berkaitan.

Program yang berlangsung selama dua hari ini turut dimeriahkan dengan acara sampingan seperti perlawanan persahabatan sukan, majlis makan malam serta anugerah kecemerlangan siswa.

Timbalan Pengarah KKTM Ledang, Rahim Selamat (bertopi) bergambar kenangan sebelum acara perlepasan colour run sempena Hari Sukan Negara 2018 Peringkat KKTM Ledang.

TANGKAK, 13 Oktober – Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang telah mengadakan Sambutan Hari Sukan Negara 2018 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) KKTM dengan kerjasama Kelab SAIKEL, kelab KKTML Runners & kelab rugbi Mammoths KKTM Ledang.

Acara bermula seawal jam 7.00 pagi itu disertai seramai 800 peserta di kalangan pelajar dan warga kerja KKTM Ledang, kelab rugbi sekitar Johor, Melaka dan Selangor serta penduduk sekitar yang turut hadir bersama ahli keluarga meluangkan masa bagi menyertai acara yang dianjurkan.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti Colour Run, kayuhan Fun Ride, Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s dan perlawanan e-sport seperti Pro Evolution Soccer 2018 (PES2018).

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, sambutan Hari Sukan Negara (HSN)@KKTM Ledang hari ini merupakan platform terbaik dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat melalui acara sukan sukan disamping mengeratkan silaturrahim dan perpaduan dalam kalangan warga KKTM Ledang bersama masyarakat sekitar, katanya semasa majlis penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s.

Sambutan HSN kali ini telah dimulakan dengan aktiviti zumba yang telah diketuai oleh Ainiena Syafienasz Rusman, pelajar Program Radiologi dan Pengimejan KKTM Ledang dan diteruskan dengan perlepasan acara Colour Run yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah KKTM Ledang, Rahim Selamat.

Sementara itu, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Ragbi Tertutup Serom 10’s setelah menewaskan kelab rugbi Iskandar Troopers dari Mersing. Bagi kategori wanita, pasukan SMK Seri Pulai muncul johan manakala kelab Mammoth RC KKTM Ledang sekadar berpuas hati selaku naib juara.

TERMETERAI: Dr Mohd Nawawi (tiga kiri) dan Salahuddin (tiga kanan) menunjukkan dokumen LOI yang ditandatangani.

BINTULU: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu bekerjasama dengan Malaysian Steam and Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA)  bagi memartabatkan pengamal dan Orang Yang Kompeten (OYK) dalam bidang dandang dan pembakaran wap dalaman enjin.

Kerjasama itu dimeterai pada Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) antara kedua-dua pihak di sini kelmarin.

Setiausaha Kehormat MSIEA Muhammad Salahuddin Abdul Majid berkata kerjasama itu amat baik memberi ruang kepada kedua-dua pihak memperkembang informasi serta teknologi berkaitan untuk menjadikan lepasan IKM terutama IKM Bintulu pekerja cekap.

“Ia juga memantapkan kebolehpasaran pelajar memasuki industri penting seperti minyak dan gas, loji jana kuasa dan sebagainya,” katanya pada Majlis Menandatangani LOI yang disaksikan lebih 50 peserta mewakili pelbagai industri.

Majlis itu turut dihadiri pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil badan penguat kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Bintulu.

Pada masa sama, MSIEA turut menjemput beberapa pensyarah IKM Bintulu mengikuti kursus tiga hari pada program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah IKM Bintulu Dr Mohd Nawawi Omar berkata IKM mengoptimumkan kerjasama dalam bantuan khidmat nasihat berkaitan penambahbaikan silibus serta peralatan  sedia ada di institut itu.

Katanya, usaha itu dikembangkan dengan jalinan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mendapat akreditasi JKKP bagi melaksanakan kursus kompetensi bidang berkaitan.

“Seperti Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Majlis Amanah Rakyat (MARA) ada perbezaan dengan institusi latihan kemahiran lain.

“Pelajar bergraduat daripada Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) atau IKM ada sijil profesional tambahan diterima daripada sijil dan diploma dikeluarkan oleh MARA,” jelasnya.

Beliau yakin IKM Bintulu mampu menjadi penanda aras kepada IKM lain melahirkan lepasan kompeten bagi memenuhi pasaran kerja mahir negara.

Pensyarah Jabatan Operasi Loji IKM Bintulu Michael Jangi menyifatkan kerjasama itu rahmat kepada pelajar di bawah jabatan beliau mampu meningkatkan pengetahuan secara teori mahupun amali melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada tenaga pengajar mahir.

Tangkak, 9 Oktober – Seramai 600 orang peserta di kalangan pelajar dan warga kerja KKTM Ledang serta masyarakat setempat telah mengikuti Forum Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) yang telah diadakan di Dewan Al Khindi, KKTM Ledang malam tadi anjuran bersama KKTM Ledang dan Bahagian Penyelidikan Pejabat Kadi Daerah Tangkak.

Forum ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kefahaman Islam di samping menjelaskan serta mengukuhkan pegangan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah kepada masyarakat.

Forum ini juga berperanan dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat supaya berhati-hati dan mengenali ciri kebatilan aliran menyeleweng serta mengukuhkan kefahaman mengenai ciri akidah Islamiah.

Panel forum terdiri daripada tiga tokoh agama negeri Johor iaitu Kadi Daerah Muar, Sheikh Hj. Mohd Fahmi Samad dan Kadi Daerah Kluang, Sheikh Hj. Mohd Taufik Kiyai Shamsuddin serta Kadi Daerah Tangkak, Sheikh Hj. Nasri Rahman selaku moderator forum.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail berkata dalam ucapan perasmiannya, isu akidah ini sangat releven jika mahu dibincangkan dari semasa ke semasa kerana tidak dinafikan semakin banyak ancaman luar yang berpotensi merosakkan akidah umat Islam seperti kemasukan ajaran sesat.

“Saya percaya program sebegini mampu menjadi perintis kepada usaha MARA dalam melahirkan modal insan global dan berintegriti tanpa mengabaikan nilai-nilai keagamaan. Graduan daripada MARA perlu mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi, personaliti yang unggul dan pengetahuan agama yang sempurna,” ujarnya.

KKTM Ledang diwakili oleh Che Safie Che Omar menerima Sijil Penghargaan, Wang Tunai dan cenderahati dari Dato’ Mohd Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat.

BATU PAHAT, 8 Oktober – KKTM Ledang sekali lagi telah berjaya merangkul kejayaan sebagai juara dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bagi kategori IPT Awam/ Swasta.

Satu majlis penghargaaan telah diaadakan di Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam Johor bertempat di Batu Pahat, untuk mengiktiraf para pemenang yang telah bertungkus-lumus menceriakan premis masing-masing dan menterjemah semangat patriotik dalam bentuk landskap yang indah dan ceria.

“Objektif utama program itu bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara, di samping mendorong serta mencetus kreativiti rakyat dalam menyemarak sambutan bulan kemerdekaan negara” ucap Zainudin Haji Ismail, Pengarah Penerangan Negeri Johor.

Tambah beliau lagi, “Antara yang dapat dilihat melalui pertandingan ini adalah keunikan cara dan gaya jabatan serta institusi yang mengambil bahagian dalam mempamerkan dan mengibarkan Jalur Gemilang sehingga menjadi tumpuan masyarakat sekeliling, serta menarik minat pengguna jalanraya yang menggunakan laluan tersebut”.

KKTM Ledang yang di wakili oleh Timbalan Pengarah Khidmat Pengurusan, Che Safie Che Omar telah menerima Sijil Penghargaan dan wang tunai sebanyak RM2000 dalam majlis penyampaian yang disempurnakan oleh Dato’ Mohd Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat.

Dengan kemenangan ini telah melayakkan KKTM Ledang mewakili Negeri Johor dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 dalam kategori IPT Awam/Swasta peringkat kebangsaan.

Pasukan Zapin Puteri KKTM Ledang bergambar kenangn bersama Pegawai Daerah Tangkak.

TANGKAK, 8 Oktober – Kumpulan Zapin Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang muncul naib johan Pertandingan Zapin Johor 2018 Peringkat Daerah Tangkak yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, sekali gus membolehkan kumpulan yang diwakili oleh Kumpulan Tarian Puteri KKTM Ledang itu membawa pulang RM500 dan piala iringan.

Seramai 200 peserta zapin daripada 20 pasukan sekitar Daerah Tangkak mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Tangkak serta Pejabat Daerah Tangkak.

Setiap kumpulan diwakili 10 orang peserta telah bertanding dalam lima (5) kategori berbeza iaitu kategori terbuka (A), kategori jabatan kerajaan, kategori sekolah rendah, kategori sekolah menengah, dan kategori bukan melayu telah diadili oleh juri daripada Yayasan Warisan Johor.

Pasukan Kelab Kesenian Cempaka Sari muncul sebagai johan pertandingan kategori terbuka (A) manakala Pasukan Zapin Puteri KKTM Ledang terpaksa berpuas hati ditempat kedua.

Bagi kategori jabatan kerajaan telah dimenangi oleh Kumpulan Sang Saka Biru manakala Kelab Zero Four Batch Dancer menjuarai kategori bukan melayu.

Seterusnya bagi kategori sekolah menengah diungguli oleh Kumpulan Zapin Tari Kencana SAMURA dari Sekolah Menengah Sains Muar manakala bagi ketegori sekolah rendah dimenangi oleh Kumpulan Warisan Seni Budaya dari Sekolah Rendah Sengkang.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tangkak, Hj Mahadon Bin Marnin. Hadir sama Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Bin Ismail, Ahli Yayasan Warisan Johor serta ketua – ketua jabatan seluruh Daerah Tangkak.

Pertandingan Zapin Johor ini juga dimeriahkan dengan persembahan selingan Tarian Zapin Kanak-Kanak dari Tabika KEMAS dan Zapin Lambak.

Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf bersama pelajar-pelajar yang menyertai SPEKMA 2018

PERAK, 28 September- Pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi menempuh alam pekerjaan selepas bergelar graduan.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf, pekerjaan masa kini tidak hanya memerlukan graduan lulusan daripada institusi pendidikan, malah memiliki kemahiran yang pelbagai selain bidang dipelajari.

“Saya rasa bangga dengan prestasi cemerlang pelajar-pelajar IPMa bukan sahaja dalam bidang kemahiran, bahkan juga dalam bidang kesukanan.

“Ini sebagai nilai tambah dalam pelbagai bidang supaya ia boleh menjadi kelebihan kepada pelajar,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sukan Pelajar KKTM, MJII & IKM (SPEKMA) Ke-11 yang diadakan di KKTM Lenggong, Perak.

Kejohanan itu berlangsung sejak Isnin lalu disertai kira-kira 1100 peserta daripada 25 pusat pendidikan Teknikal & Vokasional (TVET) MARA di seluruh negeri dengan mempertandingkan 14 acara sukan.

Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin muncul juara keseluruhan kejohanan dengan memenangi empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Dato’ Mohammed Roseli Dol dan Pengarah MARA Negeri Pahang, Salemi Yusoff.

 

 

TANGKAK, 17 September – Seramai 550 warga KKTM Ledang yang terdiri daripada 80 warga kerja dan 470 pelajar telah menjayakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Ke-61 Peringkat KKTM Ledang yang berlangsung di Dewan Al-Khindi KKTM Ledang di sini, hari ini.

Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-61 Peringkat KKTM Ledang itu telah dirancang dengan teliti oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KKTM Ledang dengan menggabungkan elemen patriotisme dan elemen gaya hidup sihat melalui aktiviti Zumba dalam satu program.

Menurut Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail, program tersebut bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air disamping penekanan terhadap kepentingan gaya hidup yang lebih sihat di kalangan warga KKTM Ledang dalam membina Negara yang lebih produktif dan sihat.

“Program seperti ini diharapkan dapat mengenang kembali jasa dan pengorbanan perwira negara yang terdiri daripada datuk nenek kita terdahulu. Tanpa pengorbanan mereka, maka kita tidak dapat mengecapi keamanan dan perpaduan seperti apa yang sedang kita kecapi sekarang,” tambah beliau sewaktu menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Dalam program yang sama, satu sesi penyampaian hadiah telah diadakan bagi meraikan para pemenang bagi aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sepanjang Sambutan Bulan Kemerdekaan ini.

Majlis ditutup dengan aktiviti bergambar kenangan serta pengumuman yang amat membanggakan warga KKTM Ledang iaitu kejayaan kolej menjadi juara dalam Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor dan seterusnya akan mewakili Negeri Johor ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Page 1 of 2

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

MOBILE APPS

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search