Friday, 26 October 2018 03:11

PERTANDINGAN WATERBOT KKTM LEDANG TERJEMAH ASPIRASI IR 4.0 NEGARA


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

TANGKAK, 18 Oktober – Sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) khususnya di kolej-kolej TVET MARA tidak hanya tertumpu di dalam kelas atau bilik kuliah, namun turut disampaikan melalui pelbagai bentuk pengisian, aktiviti dan projek yang menyeronokkan dan mengikut kesesuaian serta kreativiti pengajarnya. 

Atas dasar itu, KKTM Ledang melalui Exco Akademik Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pensyarah-pensyarah kursus Microcontroller telah menganjurkan Pertandingan WaterBot Robocode Skills Challenge  bagi menilai tahap kefahaman, kebolehan dan kemahiran para pelajar Semester 3 yang mengambil kursus Microcontroller ini.

“Program berbentuk aplikasi dan praktikal di luar bilik kuliah seperti ini amat bagus kerana dapat mencetus kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang robotik, selain membakar semangat mereka untuk menghasilkan projek yang terbaik bagi memenangi pertandingan. Konsep ini juga mendedahkan pelajar dan menyokong dasar Revolusi Perindustrian 4.0 negara khususnya dalam bidang TVET” ujar Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail.

Menurutnya lagi, program ini juga dapat menarik minat pelajar dan menilai bagaimana mereka menterjemahkan pengetahuan dalam bentuk teori yang dipelajari di dalam kelas ke dalam aktiviti aplikasi sebenar yang lebih mengujakan.

Pertandingan ini disertai oleh 26 kumpulan yang melibatkan 172 orang pelajar semester 3 dan keputusannya telah dimenangi oleh kumpulan Star Cruise, diikuti oleh Bottigila ditempat kedua,  manakala kumpulan The Champion dan Vroom Vroom menduduki tempat ketiga dan keempat. Bagi rekabentuk robot terbaik pula dimenangi oleh kumpulan The Black Pearl.

Turut hadir menyaksikan pertandingan Waterbot ini adalah Timbalan-timbalan Pengarah, pensyarah-pensyarah serta pelajar-pelajar kolej keseluruhannya.

Read 61 times

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

MOBILE APPS

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search