SISWI ROBOT TEMPUR

Dari kiri Amira, Nur Alia dan Anisah, pelajar-pelajar mewakili MJII Robofighto Competition 2018.

BERANANG, 24 Oktober- Robot tempur ciptaan pelajar-pelajar MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Amira Syahdina Ahmad Suffian, Nur Alia Syafiqah Hassan Buhari dan Anisah Mardhiyyah Mohamad Zaki pernah menyertai kejohanan Youth Robot Challenge 2018 (Y-RoboC’18) pada 14 hingga 16 Oktober 2018 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Sepang baru-baru ini sebagai latihan pemanas badan sebelum mewakili MJII di Robofighto Competition 2018, Beranang, Selangor.

Robot ciptaan ini mempunyai kelebihan bertempur yang telah dinaiktaraf dari segi spesifikasi kelajuan motor dan kekebalan senjata.

Menurut Amira, mereka perlu menghasilkan robot tempur melalui syarat yang ditetapkan penganjur iaitu ukuran robot mestilah 300mm tanpa senjata dan berat tidak melebihi 8kg.

“Alhamdulillah, kami berjaya menghasilkan robot tempur dalam tempoh 30 hari dan berlatih setiap malam bagi memastikan tiada masalah semasa pertempuran.

“Kami sentiasa peka dengan elemen penting dalam penciptaan robot tempur ini kerana jika kami buat satu kesilapan pasti ia tidak akan berfungsi,” katanya di pertandingan Robofighto 2018 MJII di sini.

Tambah Nur Alia, minat mencipta robot tempur ini dapat melatih beliau untuk lebih berdisplin, kreatif dan berinovasi. Malah, pengajaran di MJII ini amat menggalakkan pelajar mereka mencipta sesuatu yang dapat memberikan manfaat terutamanya dalam bidang robotik dan automasi.

“Saya mula tertarik dengan robot tempur ini, apabila melihat rancangan Battelbots dan tidak menyangka belajar di MJII ini memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan robot tempur sendiri,” katanya.

Bagi Anisah pula, soal lelaki atau perempuan tidak menjadi halangan untuk menghasilkan robot tempur walaupun majoriti lelaki yang mendominasi ciptaan robot ini.

“Walaupun saya pelajar perempuan, minat terhadap robot tempur amat mendalam dan tidak akan berputus asa untuk mempelajarinya sehingga saya dapat menghasilkan ciptaan yang terbaik,” katanya.

Pelajar-pelajar MJII ini berharap agar MARA sentiasa memberi sokongan yang berterusan dalam menganjurkan pertandingan Robofighto pada masa akan datang bagi memberi galakkan dan pendedahan kepada individu yang meminati bidang robotik.

Read 74 times

HUBUNGI KAMI

Bahagian Kemahiran & Teknikal MARA, Tingkat 21, Ibu Pejabat MARA 21, Jalan MARA 50609 Kuala Lumpur

MOBILE APPS

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2018 BAHAGIAN KEMAHIRAN & TEKNIKAL MARA

Search